Isnin, 19 Ogos 2013

'MIMBAR QASEH' merupakan Misi Pendidikan di luar negara untuk masyarakat Melayu Islam

Majma' Budaya & Warisan Jawi, JWJ serta WarisAlam berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak yang sanggup merealisasikan penubuhan sekolah-sekolah yang baik tadbirnya di luar Malaysia untuk masyarakat Melayu yang tidak berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna dalam pengajian Islam dan pengajian Melayu. Majma' Budaya & Warisan Jawi berusaha menyusun sukatan pelajaran yang terbaik bagi pengajian ini agar generasi mendatang dari masyarakat ini kekal dalam ketuanan Melayu, berbahasa Melayu dan tulisan jawi kekal sebagai tulisan rasmi bangsa Melayu. 

“Ilmu itu pelita hidup”

Majma' sedang berusaha menjayakan misi pendidikan ini di luar negara atas nama program 'MIMBAR QASEH'. Moga-moga dengan usaha ini masyarakat Melayu Islam yang hidup dalam serba kekurangan dapat menikmati kesejahteraan sama seperti kita di Malaysia. Kandungan dalam program 'MIMBAR QASEH' meliputi pengajian Agama Islam, Pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah Melayu, Tulisan Jawi dan Aktiviti Budaya seperti Kompang, Seni Silat dan lainnya yang dapat mengembalikan semangat berbudaya Melayu dalam masyarakat Melayu di luar sempadan Malaysia.

Antara keadaan 'Sekolah Rakyat' masyarakat Melayu Islam yang serba kekurangan yang terdapat di negara Thailand, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam













Misi Pendidikan 'MIMBAR QASEH' di Kemboja

RAYUAN SUMBANGAN UNTUK TABUNG 'MIMBAR QASEH' PENGURUSAN DANA PENDIDIKAN KEMBOJA


MUQADDIMAH

Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MAJMA') dan Persatuan Budaya dan Warisan Melayu jawi (WarisAlam) telah mengadakan Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 (JWJ 2) pada tahun 2011 selama 25 hari ke seluruh Indo China. Negeri-negeri tersebut termasuklah Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan China. Sepanjang ekspedisi tersebut, seluruh anggota ekspedisi telah menyaksikan sendiri orang-orang Melayu etnik Champa yang tinggal di bumi mereka sendiri dalam keadaan penuh kedaifan tanpa sokongan dan bantuan yang menyeluruh dari kerajaan masing-masing. Betapa kami sangat menginsafi diri ini dan mensyukuri segala nikmat yang tuhan kurniakan kepada kami selama ini jika dibandingkan dengan saudara sebangsa seIslam di negara2 tersebut. Orang-orang Melayu sangat terpinggir dari segi ekonomi, pendidikan, sosial malahan budaya juga kian terhakis dikunyah dek masa dan cabaran globalisasi yang mencengkam. Ke mana pun kami jejak kaki kami hanya keluhan dan harapan yang terdengar oleh cuping-cuping telinga kami memohon bantuan kewangan bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih terjamin dan tersusun. Jika sebelum ini hanya kedengaran sebagai halwa telinga kami bahawa mereka makan daging setahun sekali dan minum susu di hari raya..maka benarlah ungkapan tersebut kerana kami menyaksikan sendiri kepayahan hidup mereka yang meremuk jiwa hanya untuk makan enak setahun sekali.

PENDIDIKAN

Berbincang bab pendidikan juga amat sedih untuk diperkatakan. Di Kemboja anak-anak Melayu memang berpeluang untuk ke sekolah kerajaan tapi bagi yang mampu bolehlah melangkah lebih jauh lagi. Namun demikian, 70 peratus anak-anak Melayu Kemboja hanya dapat menghabiskan pelajaran menengah sahaja tanpa peluang untuk ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan. Bagi anak-anak gadis, seawal 16 atau 17 tahun sudah berkahwin buat meringankan beban ibu bapa mentelahan nak dihantar belajar jauh pun tiada wang yang kecukupan. Bagi yang lelaki pula akan meneruskan pekerjaan tradisi mereka yang diwarisi turun temurun samada bertani, menangkap ikan atau membuat kerja-kerja kampung. Di Kemboja tiada jaminan pekerjaan yang baik. Al Maklumlah sebagai minoriti tiada apa yang boleh diharapkan asalkan mendapat ketenangan hidup dan keamanan pun sudah cukup hebat buat mereka ini.

KG. CHUMNIK DAN PENDIDIKAN

Kampung Chumnik yang terletak 3 jam perjalanan dari Phnom Penh didiami oleh 6000 orang Melayu Islam. Sebagai kaum minoriti Melayu Islam Champa, daerah ini merupakan jumlah penduduk Islam yang paling ramai sekali jika dibandingkan di lain-lain kawasan di seluruh Kemboja. Rata-rata penduduk di sini hidup dalam kedaifan. Apa yang menjadi harapan setiap keluarga ialah untuk membiayai pendidikan anak-anak masing-masing ke tahap paling tinggi buat merubah corak kehidupan keluarga di masa depan. Namun demikian, sekolah yang ada pun hanya menumpukan pendidikan akademik semata-mata jauh sekali pendidikan Islam. Pendidikan Islam hanya dipelajari secara pondok atau dI masjid-masjid atau di surau-surau berdekatan rumah masing-masing. Jika sesebuah keluarga itu mampu, anak-anak akan dihantar mengaji Islam di pondok-pondok di Thailand atau di Kelantan, Malaysia. Sungguhpun demikian, ia hanya sebagai memastikan warisan pendidikan Islam tidak terhapus dalam sesebuah keluarga jauh sekali sebagai agen perubah ekonomi keluarga. Bilangan sekolah agama yang terhad membantutkan lagi harapan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, atas tanggungjawab dan keprihatianan saudara sebangsa seagama maka kami menyusun strategi untuk menawarkan khidmat bakti kami sedaya upaya kami untuk anak-anak Kemboja ini. Tiada lain yang kami lebih nampak selain menawarkan sistem pendidikan yang berprospek jauh kepada anak-anak kemboja ini menuntut ilmu di mana akhirnya nanti mereka akan merubah lanskap ekonomi keluarga masing-masing bahkan juga kampung dan bangsa mereka sendiri di kemudian hari.

Pada waktu dan ketika ini bangunan sekolah telah pun 90 peratus siap terletak berhampiran dengan Masjid Besar Kg. Chumnik. Setelah siap kelak, bangunan dan prasarana sekolah ini bisa menampung 120 pelajar pada satu-satu masa. Sekolah ini bakal mengaplikasikan pendidikan Integrasi mencakupi ilmu duniawi dan ukhrawi atau dengan kata mudahnya akademik dan agama. Selain itu sekolah ini bakal mempelopori pembelajaran Bahasa Melayu sebagai salah satu kurikulumnya dan subjek Warisan Budaya sebagai Ko-kurikulumnya agar anak–anak Melayu Kemboja ini kenal kembali kehebatan generasi Melayu terdahulu yang bukan sahaja hebat dalam ilmu bahkan juga adat budaya dan warisannya.

Bangunan sekolah di Kg Chumnik yang hampir siap


Oktober 2013, merupakan bulan pengambilan pelajar-pelajar khasnya dari seluruh Kg. Chumnik. Menurut perancangan awal sekolah ini bakal memerlukan sekurang-kurangnya 11 orang guru termasuk 2 orang staff sokongan. Adalah dianggarkan pembiayaan bulanan bagi menjalankan operasi sekolah ini ialah USD 5000 atau lebih kurang RM 15000 dan setahun dianggarkan RM 150,000 atau USD 50,000.

Walaubagaimanapun, apa yang menjadi halangan ialah faktor kewangan yang bakal menentukan kelangsungan operasi sekolah ini samada berkekalan atau sebaliknya. MAJMA' Dan WarisAlam bertekad untuk mengambil tanggungjawab ini dan berusaha untuk menjadikannya satu relaiti yang bakal menjadi model perubah masyarakat Islam Kg. Chumnik khasnya dan seluruh Kemboja amnya. Model pendidikan yang direncanakan ini diharap menjadi contoh pula untuk digunapakai di lain-lain negara khasnya di Indo-China ini. Paradigma inilah sebenarnya yang bakal dapat mencorak kembali kehidupan penduduk Islam kepada kehidupan yang lebih bermakna di mana Islam sebagai “way of life” dalam semua aspek kehidupan, Insya Allah. 

Justeru itu, kami mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat atau organisasi-organisasi mahupun orang-orang perseorangan yang sudi untuk menyumbangkan RM 1,500 setahun. Jadi, untuk mendapatkan dana sebanyak RM 150,000 setahun maka kami mensasarkan 100 syarikat/organisasi/individu untuk menjayakan hasrat murni ini. MAJMA' dan WarisAlam atas nama MIMBAR QASEH akan bertindak sebagai entiti yang menguruskan dana ini, penyediaan sukatan pelajaran dan pemantauan berterusan sekolah ini. Para penyumbang akan dimaklumkan sebarang perkembangan sekolah ini dari semasa ke semasa. Moga-moga usaha ini sentiasa mendapat jalan mudah dari Allah dan semoga Allah jualah yang memberikan keluasan rezeki-Nya kepada semua pentyumbang yang murah hati ini. Mudah-mudahan mereka senantiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah selamanya. Amin.

Maka berikut dinyatakan kira-kiran untuk perbelanjaan dan pembiayaan tahunan sekolah tersebut.

BIL
PERKARA
NILAI
(USD)
KEPALA /
 PAX
TEMPOH
JUMLAH (USD)
1
Gaji guru
200
11
12 Bulan
26400
2
Nazir/Pemantau
200
1
12 Bulan
2400
3
Guru Ko Kurikulum
150
2
12 Bulan
3600
4
Kerani
190
1
12 Bulan
2280
5
Tukang Kebun
50
1
12 Bulan
600
6
Elektrik
400

12 Bulan
4800
7
Air
200

12 Bulan
2400
8
Alat-tulis
300

12 Bulan
3600
9
Pengurusan
350

12 Bulan
4200
JUMLAH BESAR
50280

Sumbangan Anda dalam Program 'MIMBAR QASEH' ini amat-amat dialukan bagi membantu masyarakat Melayu Islam di Kemboja supaya mereka yang hidup dalam serba kekurangan berpeluang memperolehi pendidikan Agama dan pelajaran Bahasa Melayu yang sempurna. 

Pihak kami dan masyarakat Melayu di Kg Chumnik dahului dengan ribuan Terima Kasih kepada anda kerana turut serta menyumbang dana dalam program 'MIMBAR' ini.

SILA KLIK

Bangunan Sekolah Hampir Siap

Bangunan sekolah untuk masyarakat Melayu di Kg Chumnik, Kampong Champ, Kemboja hampir siap. Dijangkan pada akhir tahun ini bangunan untuk enam kelas bagi anak-anak Melayu menyambung pelajaran dari tingkatan 1 ke atas akan menjadi realiti.

Pada awal tahun hadapan mereka akan memulakan pelajaran bahasa Melayu dan Agama selain mengikuti aktiviti budaya Melayu yang disilibuskan oleh pihak Majma' Budaya dan Warisan Jawi (Majma') dari Malaysia.



Bangunan yang mendapat sumbangan dana dari pihak MARA, Banting, Selangor, Malaysia ini merupakan satu sejarah bagi bangsa Melayu. Ini adalah kerana Bahasa Melayu akan menjadi salah satu mata pelajaran di peringkat sekolah rakyat di Kemboja. InsyaAllah dengan usaha dan kerjasama pelbagai pihak, bahasa dan budaya Melayu akan berkembang ke sekolah rakyat yang lain di Kemboja malah berkembang seterusnya ke Vietnam, Laos, Myanmar dan Thailand. Ini adalah menjadi tujuan Majma' kerana di negara-negara itu masih terdapat ramai masyarakat Melayu yang sudah tidak mampu berbahasa asal-usul mereka iaitu bahasa MELAYU.

Pihak Majma' sekarang ini sedang giat mencari guru-guru untuk berkhidmat di sini. Seterusnya berusaha mendapat kerjasama dan sumbangan dana untuk menampung gaji guru dan penyelenggaraan sekolah ini. 

Pihak Majma' mengalu-alukan semua pihak bersama menjayakan program 'mimbar' ini agar bangsa Melayu di bumi Melayu ini kembali berbahasa Melayu.




Borang Penyertaan Misi Pendidikan 'MIMBAR QASEH'


Powered byEMF HTML Contact Form




Ahad, 18 Ogos 2013

SILIBUS YANG AKAN DILAKSANAKAN

Sekolah Islam Integrasi Haji Fikry ini bakal melaksanakan 2 sistem pendidikan yang digabungkan iaitu bercorak akademik dan agama. Sekolah ini bakal menggunakan sistem akademik sedia ada dari kementerian Pendidikan Kemboja manakala untuk kurikulum agama (Arab) pula menggunapakai sistem dari Malaysia.  Pada waktu mendatang sekolah ini juga akan menyerap masuk silibus agama (arab) yang digunapakai oleh pelajar-pelajar tingkatan enam di Malaysia iaitu (STAM). Ini bertujuan untuk memudahkan mereka melanjutkan pelanjaran ke peringkat universiti di Malaysia kelak.

Selain itu sekolah ini juga akan menguatkuasakan penggunaan 4 bahasa dalam kurikulum pembelajarannya serta pengurusan seharian  iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu selain Bahasa Champa sendiri.  


Bidang Ko-kurikulum pula dititik beratkan kepada seluruh pelajar sekolah ini bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu bahkan juga seimbang dalam kelangsungan hidup di mana aktiviti Ko-kurikulum ini merangkumi kelab dan persatuan yang berbentuk sukan, kebudayaan dan skill (kemahiran).