Isnin, 19 Ogos 2013

Misi Pendidikan 'MIMBAR QASEH' di Kemboja

RAYUAN SUMBANGAN UNTUK TABUNG 'MIMBAR QASEH' PENGURUSAN DANA PENDIDIKAN KEMBOJA


MUQADDIMAH

Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MAJMA') dan Persatuan Budaya dan Warisan Melayu jawi (WarisAlam) telah mengadakan Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 (JWJ 2) pada tahun 2011 selama 25 hari ke seluruh Indo China. Negeri-negeri tersebut termasuklah Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar dan China. Sepanjang ekspedisi tersebut, seluruh anggota ekspedisi telah menyaksikan sendiri orang-orang Melayu etnik Champa yang tinggal di bumi mereka sendiri dalam keadaan penuh kedaifan tanpa sokongan dan bantuan yang menyeluruh dari kerajaan masing-masing. Betapa kami sangat menginsafi diri ini dan mensyukuri segala nikmat yang tuhan kurniakan kepada kami selama ini jika dibandingkan dengan saudara sebangsa seIslam di negara2 tersebut. Orang-orang Melayu sangat terpinggir dari segi ekonomi, pendidikan, sosial malahan budaya juga kian terhakis dikunyah dek masa dan cabaran globalisasi yang mencengkam. Ke mana pun kami jejak kaki kami hanya keluhan dan harapan yang terdengar oleh cuping-cuping telinga kami memohon bantuan kewangan bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih terjamin dan tersusun. Jika sebelum ini hanya kedengaran sebagai halwa telinga kami bahawa mereka makan daging setahun sekali dan minum susu di hari raya..maka benarlah ungkapan tersebut kerana kami menyaksikan sendiri kepayahan hidup mereka yang meremuk jiwa hanya untuk makan enak setahun sekali.

PENDIDIKAN

Berbincang bab pendidikan juga amat sedih untuk diperkatakan. Di Kemboja anak-anak Melayu memang berpeluang untuk ke sekolah kerajaan tapi bagi yang mampu bolehlah melangkah lebih jauh lagi. Namun demikian, 70 peratus anak-anak Melayu Kemboja hanya dapat menghabiskan pelajaran menengah sahaja tanpa peluang untuk ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan. Bagi anak-anak gadis, seawal 16 atau 17 tahun sudah berkahwin buat meringankan beban ibu bapa mentelahan nak dihantar belajar jauh pun tiada wang yang kecukupan. Bagi yang lelaki pula akan meneruskan pekerjaan tradisi mereka yang diwarisi turun temurun samada bertani, menangkap ikan atau membuat kerja-kerja kampung. Di Kemboja tiada jaminan pekerjaan yang baik. Al Maklumlah sebagai minoriti tiada apa yang boleh diharapkan asalkan mendapat ketenangan hidup dan keamanan pun sudah cukup hebat buat mereka ini.

KG. CHUMNIK DAN PENDIDIKAN

Kampung Chumnik yang terletak 3 jam perjalanan dari Phnom Penh didiami oleh 6000 orang Melayu Islam. Sebagai kaum minoriti Melayu Islam Champa, daerah ini merupakan jumlah penduduk Islam yang paling ramai sekali jika dibandingkan di lain-lain kawasan di seluruh Kemboja. Rata-rata penduduk di sini hidup dalam kedaifan. Apa yang menjadi harapan setiap keluarga ialah untuk membiayai pendidikan anak-anak masing-masing ke tahap paling tinggi buat merubah corak kehidupan keluarga di masa depan. Namun demikian, sekolah yang ada pun hanya menumpukan pendidikan akademik semata-mata jauh sekali pendidikan Islam. Pendidikan Islam hanya dipelajari secara pondok atau dI masjid-masjid atau di surau-surau berdekatan rumah masing-masing. Jika sesebuah keluarga itu mampu, anak-anak akan dihantar mengaji Islam di pondok-pondok di Thailand atau di Kelantan, Malaysia. Sungguhpun demikian, ia hanya sebagai memastikan warisan pendidikan Islam tidak terhapus dalam sesebuah keluarga jauh sekali sebagai agen perubah ekonomi keluarga. Bilangan sekolah agama yang terhad membantutkan lagi harapan ibu bapa mereka untuk menghantar anak-anak sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, atas tanggungjawab dan keprihatianan saudara sebangsa seagama maka kami menyusun strategi untuk menawarkan khidmat bakti kami sedaya upaya kami untuk anak-anak Kemboja ini. Tiada lain yang kami lebih nampak selain menawarkan sistem pendidikan yang berprospek jauh kepada anak-anak kemboja ini menuntut ilmu di mana akhirnya nanti mereka akan merubah lanskap ekonomi keluarga masing-masing bahkan juga kampung dan bangsa mereka sendiri di kemudian hari.

Pada waktu dan ketika ini bangunan sekolah telah pun 90 peratus siap terletak berhampiran dengan Masjid Besar Kg. Chumnik. Setelah siap kelak, bangunan dan prasarana sekolah ini bisa menampung 120 pelajar pada satu-satu masa. Sekolah ini bakal mengaplikasikan pendidikan Integrasi mencakupi ilmu duniawi dan ukhrawi atau dengan kata mudahnya akademik dan agama. Selain itu sekolah ini bakal mempelopori pembelajaran Bahasa Melayu sebagai salah satu kurikulumnya dan subjek Warisan Budaya sebagai Ko-kurikulumnya agar anak–anak Melayu Kemboja ini kenal kembali kehebatan generasi Melayu terdahulu yang bukan sahaja hebat dalam ilmu bahkan juga adat budaya dan warisannya.

Bangunan sekolah di Kg Chumnik yang hampir siap


Oktober 2013, merupakan bulan pengambilan pelajar-pelajar khasnya dari seluruh Kg. Chumnik. Menurut perancangan awal sekolah ini bakal memerlukan sekurang-kurangnya 11 orang guru termasuk 2 orang staff sokongan. Adalah dianggarkan pembiayaan bulanan bagi menjalankan operasi sekolah ini ialah USD 5000 atau lebih kurang RM 15000 dan setahun dianggarkan RM 150,000 atau USD 50,000.

Walaubagaimanapun, apa yang menjadi halangan ialah faktor kewangan yang bakal menentukan kelangsungan operasi sekolah ini samada berkekalan atau sebaliknya. MAJMA' Dan WarisAlam bertekad untuk mengambil tanggungjawab ini dan berusaha untuk menjadikannya satu relaiti yang bakal menjadi model perubah masyarakat Islam Kg. Chumnik khasnya dan seluruh Kemboja amnya. Model pendidikan yang direncanakan ini diharap menjadi contoh pula untuk digunapakai di lain-lain negara khasnya di Indo-China ini. Paradigma inilah sebenarnya yang bakal dapat mencorak kembali kehidupan penduduk Islam kepada kehidupan yang lebih bermakna di mana Islam sebagai “way of life” dalam semua aspek kehidupan, Insya Allah. 

Justeru itu, kami mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat atau organisasi-organisasi mahupun orang-orang perseorangan yang sudi untuk menyumbangkan RM 1,500 setahun. Jadi, untuk mendapatkan dana sebanyak RM 150,000 setahun maka kami mensasarkan 100 syarikat/organisasi/individu untuk menjayakan hasrat murni ini. MAJMA' dan WarisAlam atas nama MIMBAR QASEH akan bertindak sebagai entiti yang menguruskan dana ini, penyediaan sukatan pelajaran dan pemantauan berterusan sekolah ini. Para penyumbang akan dimaklumkan sebarang perkembangan sekolah ini dari semasa ke semasa. Moga-moga usaha ini sentiasa mendapat jalan mudah dari Allah dan semoga Allah jualah yang memberikan keluasan rezeki-Nya kepada semua pentyumbang yang murah hati ini. Mudah-mudahan mereka senantiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah selamanya. Amin.

Maka berikut dinyatakan kira-kiran untuk perbelanjaan dan pembiayaan tahunan sekolah tersebut.

BIL
PERKARA
NILAI
(USD)
KEPALA /
 PAX
TEMPOH
JUMLAH (USD)
1
Gaji guru
200
11
12 Bulan
26400
2
Nazir/Pemantau
200
1
12 Bulan
2400
3
Guru Ko Kurikulum
150
2
12 Bulan
3600
4
Kerani
190
1
12 Bulan
2280
5
Tukang Kebun
50
1
12 Bulan
600
6
Elektrik
400

12 Bulan
4800
7
Air
200

12 Bulan
2400
8
Alat-tulis
300

12 Bulan
3600
9
Pengurusan
350

12 Bulan
4200
JUMLAH BESAR
50280

Sumbangan Anda dalam Program 'MIMBAR QASEH' ini amat-amat dialukan bagi membantu masyarakat Melayu Islam di Kemboja supaya mereka yang hidup dalam serba kekurangan berpeluang memperolehi pendidikan Agama dan pelajaran Bahasa Melayu yang sempurna. 

Pihak kami dan masyarakat Melayu di Kg Chumnik dahului dengan ribuan Terima Kasih kepada anda kerana turut serta menyumbang dana dalam program 'MIMBAR' ini.

SILA KLIK