Isnin, 19 Ogos 2013

Bangunan Sekolah Hampir Siap

Bangunan sekolah untuk masyarakat Melayu di Kg Chumnik, Kampong Champ, Kemboja hampir siap. Dijangkan pada akhir tahun ini bangunan untuk enam kelas bagi anak-anak Melayu menyambung pelajaran dari tingkatan 1 ke atas akan menjadi realiti.

Pada awal tahun hadapan mereka akan memulakan pelajaran bahasa Melayu dan Agama selain mengikuti aktiviti budaya Melayu yang disilibuskan oleh pihak Majma' Budaya dan Warisan Jawi (Majma') dari Malaysia.



Bangunan yang mendapat sumbangan dana dari pihak MARA, Banting, Selangor, Malaysia ini merupakan satu sejarah bagi bangsa Melayu. Ini adalah kerana Bahasa Melayu akan menjadi salah satu mata pelajaran di peringkat sekolah rakyat di Kemboja. InsyaAllah dengan usaha dan kerjasama pelbagai pihak, bahasa dan budaya Melayu akan berkembang ke sekolah rakyat yang lain di Kemboja malah berkembang seterusnya ke Vietnam, Laos, Myanmar dan Thailand. Ini adalah menjadi tujuan Majma' kerana di negara-negara itu masih terdapat ramai masyarakat Melayu yang sudah tidak mampu berbahasa asal-usul mereka iaitu bahasa MELAYU.

Pihak Majma' sekarang ini sedang giat mencari guru-guru untuk berkhidmat di sini. Seterusnya berusaha mendapat kerjasama dan sumbangan dana untuk menampung gaji guru dan penyelenggaraan sekolah ini. 

Pihak Majma' mengalu-alukan semua pihak bersama menjayakan program 'mimbar' ini agar bangsa Melayu di bumi Melayu ini kembali berbahasa Melayu.